www.kosmo.com.my


AHMAD SAID (tengah, belakang) bersama pasukan hoki Terengganu pada majlis memperkenalkan pasukan tersebut di Kuala Terengganu malam kelmarin.


PASUKAN hoki Terengganu meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke peringkat separuh akhir pada penampilan pertama mereka dalam Liga Hoki Malaysia (MHL) 2013 yang akan bermula hari ini.

Tampil dengan status sebagai pasukan baharu, namun pasukan ini tidak harus dipandang mudah memandangkan mereka ditunjangi enam pemain kebangsaan dan sembilan pemain yang berjaya meraih pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) yang lalu.

Beberapa nama besar yang akan memperkuatkan pasukan tersebut termasuk kapten skuad kebangsaan, Mohd. Shahrun Nabil Abdullah, Mohd. Fitri Saari, Azlan Misron serta Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil.

Jurulatihnya, Nik Rozemi Nik Mohamed yakin sasaran tersebut mampu dicapai walaupun pasukan yang baru dibentuk itu tidak mempunyai pemain import seperti pasukan-pasukan lain yang yang bersaing dalam liga ini.

"Kita berjanji untuk memberi saingan sengit pada pasukan lain, dengan tonggak yang kita ada, saya yakin skuad ini mampu menyinar," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis memperkenalkan pasukan tersebut oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di Stadium Hoki Batu Burok, Kuala Terengganu kelmarin.

Pada majlis tersebut, skuad berkenaan menerima tajaan sebanyak RM1.2 juta daripada kerajaan negeri dan RM600,000 lagi daripada Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Mohd. Shahrun menjelaskan, walaupun skuad hoki Terengganu merupakan pasukan baharu, namun ia bukan satu masalah besar untuk membentuk persefahaman dalam kalangan pemain.

"Selepas beraksi dalam beberapa perlawanan, saya yakin kami mampu membentuk persefahaman dan muncul sebagai salah satu pasukan yang perlu digeruni," katanya.

Terengganu akan turun menentang finalis musim lalu, TNB pada aksi sulung mereka dalam liga tersebut hari ini.

 



 

 

Copyright Dhaliwal Event Management Sdn Bhd © 2013. All Rights Reserved.