www.hmetro.com.my

MAYBANK bangkit daripada ketinggalan 1-0 untuk membenam Nur Insafi Perak 6-2 di Stadium Azlan Shah, Ipoh dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) 2012, semalam.

Selepas dikejutkan pada minit ke-18 melalui jaringan pukulan sudut penalti Nur Hrsikesa Thaitchana Murthi, anak buah Wallace Tan bangkit dengan persembahan kemas untuk memadam kelebihan tuan rumah melalui Muhammad Irfan pada minit ke-27 dan 32.


Babak kedua menyaksikan barisan import pasukan Maybank, Shakeel Abbasi (gambar) dan Muhammad Waqas melakukan sentuhan pemusnah untuk mengukuhkan kedudukan pasukan mereka.

Shakeel menjadikan kedudukan 3-1 pada minit ke-52 tetapi Waseem Ahmad merapatkan jurang buat tuan rumah seminit kemudian.


Namun anak buah Wallace Tan ternyata tidak rela kemenangan terlepas daripada genggaman apabila kembali menguasai persaingan dengan menambah tiga gol melalui Muhammad Waqas (minit ke-58 dan 70 ) dan ketua pasukan, Hairul Nizam Abdul Rani lima minit sebelum tamat permainan untuk merakam kemenangan pertama mereka sekali gus melonjak ke kedudukan keempat liga setakat ini.


Manakala Nur Insafi Perak yang tumpas tiga perlawanan berturut-turut, perlu terus berusaha mencari ramuan terbaik mengatasi kelemahan mereka biarpun diperkuatkan oleh enam pemain Pakistan pada musim ini.

 

Sementara itu di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dipaksa bekerja keras sebelum melakar kemenangan tipis 1-0 ketika bertemu Sapura.


Gol tunggal TNB disumbangkan oleh Mohd Firhan Ashaari sembilan minit selepas memasuki babak kedua.

Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) pula mencatat kemenangan besar 8-1 ke atas Universiti Kuala Lumpur (UniKL).



 

 

Copyright Dhaliwal Event Management Sdn Bhd © 2013. All Rights Reserved.