www.utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) terus mengukuhkan cengkaman dalam TNB-Liga Hoki Malaysia 2012 selepas membelasah UniKL 8-1 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam.

KLHC tidak perlu menunggu lama untuk berada di depan apabila mendahului pada minit ke-14 melalui jaringan padang Ismail Abu selepas berlaku kekalutan di hadapan pintu gol UniKl.

Pada minit ke-20 KLHC terus mengukuhkan cengkaman menerusi jaringan kedua kali ini menerusi Nabil Fiqri Mohd. Noor untuk mendahului 2-0.

UniKL ternyata gagal memberi tentangan terhadap KLHC apabila sekali lagi dihukum menerusi jaringan ketiga pada minit ke-27 selepas Muhammad Razie Abd. Rahim berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Separuh masa kedua bersambung dengan UniKL berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Muhammad Noor Faeez Ibrahim hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-39.

Bagaimanapun, jaringan tersebut lebih menaikkan semangat KLHC yang berjaya menjaringkan gol seminit kemudian menerusi Ismail dan menambah gol kelima menerusi Muhammad Amerullah Abd. Aziz.

KLHC tidak menoleh ke belakang lagi apabila menambah gol keenam pada minit ke-51 kali ini menerusi jaringan padang Harvinder Singh.

Dua gol KLHC lagi disumbangkan oleh Amerullah dan pemain kebangsaan, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil pada minit ke-66 dan 68.

Sementara itu, dalam perlawanan terdahulu TNB menang tipis ke atas Sapura 1-0, hasil jaringan Mohd. Firhan Ashaari selepas sembilan minit separuh masa kedua, manakala Maybank membelasah Nur Insafi 6-2.



 

 

Copyright Dhaliwal Event Management Sdn Bhd © 2013. All Rights Reserved.