www.utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Hanya kelebihan jaringan menjadi pemisah kedudukan juara musim lalu Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dengan pasukan di tangga kedua Sapura dalam Liga Hoki Malaysia-TNB 2011 sekali gus membuatkan pendahulu itu semakin dihimpit resah dalam usaha untuk mengekalkan gelaran.

Berkongsi 15 mata dengan Sapura bukan sesuatu yang selesa buat KLHC apatah lagi apabila memikirkan hanya ada tiga lagi baki perlawanan yang perlu dimanfaatkan.

Jurulatih KLHC, R. Vivekanandan berkata, perlawanan menentang Universiti Kuala Lumpur (UniKL) esok perlu dilalui dengan sebaiknya selain cuba mengekang kelebihan yang ada pada pasukan lawan.

Tambah Vivekanandan, skuad UniKL adalah pasukan yang amat sukar untuk memberikan kemenangan pada lawan selain mempunyai kelebihan mengikat kedudukan untuk keputusan seri.

"Kita amat bimbang apabila bertemu UniKL kerana mereka pernah mengikat pasukan yang hebat seperti TNB malah kebanyakan perlawanan yang mereka dilalui berakhir dengan keputusan seri dan keadaan ini boleh memberikan kesan buruk kepada pasukan lawan mereka.

"Sekiranya kami gagal mendapatkan kemenangan pada perlawanan menentang UniKL sudah tentu ia akan menjejaskan perjalanan kami memburu gelaran musim ini sekali gus akan memberi peluang kepada Sapura untuk memintas kami," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini, semalam.

Dalam usaha untuk mendapatkan kemenangan pada perlawanan keenam esok, Vivekanandan bakal mempertaruhkan tiga penyerang handalannya iaitu Chua Boon Huat, Ismail Abu dan Tengku Ahmad Tajuddin A. Jalil.

Bahagian pertahanan dikemudi kapten skuad kebangsaan, Muhammad Razie Abd. Jalil dan Ahmad Kazamirul Nasruddin sedia membantu penjaga gol, Roslan Jamaluddin daripada serangan pihak lawan.

"Pada perlawanan Rabu ini kita akan gunakan kelebihan di bahagian serangan dan kita tidak boleh leka kerana UniKL boleh mendapatkan jaringan melalui pemain pertahanan mereka.

"Pertahanan yang kami ada ketika ini sudah cukup baik dan tumpuan akan lebih diberikan untuk memastikan jentera serangan kami bergerak dengan baik dan paling penting kami mahu mendapatkan tiga mata penuh," kata Vivekanandan.



 

 

Copyright Dhaliwal Event Management Sdn Bhd © 2013. All Rights Reserved.