www.hmetro.com.my

SELEPAS memasuki separuh saingan, TNB Liga Hoki Malaysia dilihat semakin sengit dengan kelab-kelab elit seperti Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Sapura menepati ramalan untuk menduduki kelompok atasan liga.

Dibarisi ramai pemain kebangsaan, jelas kudrat mereka banyak membantu tiga kelab ini untuk mengekalkan momentum dalam saingan liga sambil dibantu oleh barisan pemain muda.

Juara bertahan, KLHC umpamanya unggul di atas carta liga selepas hampir sebahagian besar pemain dari skuad negara beraksi di kelab itu sekali gus sentiasa menghadirkan rasa gerun lawan.

Sementara TNB dan Sapura terus mengekori rapat untuk cuba mencari ruang memintas KLHC yang setakat ini mencatat kemenangan bersih dalam lima perlawanan. Namun saingan liga agak pendek iaitu hanya lapan perlawanan pada musim ini berbanding tahun lalu menyaksikan setiap perlawanan sememangnya amat penting untuk sembilan pasukan bersaing di Liga Perdana.

Apa tidaknya, jika tewas satu perlawanan sekalipun, ia pasti akan menjejaskan kedudukan mereka seperti yang berlaku kepada TNB selepas tewas kepada KLHC pada perlawanan pertama.

Saingan liga terpaksa dipendekkan untuk memberi laluan kepada skuad negara mempersiap pasukan menghadapi kelayakan Sukan Olimpik awal tahun depan.

 

Bagi pasukan kelompok pertengahan seperti Maybank, Yayasan Negeri Sembilan (YNS), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Nur Insafi, mereka juga mempunyai misi tersendiri iaitu mahu memperbaiki pencapaian musim lalu.

YNS dan Nur Insafi umpamanya benar-benar serius apabila melaburkan sejumlah dana mereka untuk membawa masuk awang import bagi memperkuatkan skuad masing-masing.

Namun setakat ini, usaha mereka itu masih belum menampakkan hasil apabila dilihat tetap bergelut untuk mencatatkan kemenangan.



 

 

Copyright Dhaliwal Event Management Sdn Bhd © 2013. All Rights Reserved.