www.hmetro.com.my

PASUKAN pilihan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang rata-ratanya dibarisi pemain skuad negara hampir dimalukan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada saingan TNB Liga Hoki Malaysia selepas skuad kendalian K. Enbaraj berjaya mengikat lawan mereka 3-3 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil semalam.

Turun selaku pasukan bukan pilihan, UniKL yang dibarisi ramai pemain skuad remaja negara nyata tidak gentar dengan reputasi gah TNB apabila di depan seawal minit ke-9 menerusi ketua pasukan, Muhammad Noor Faeez Ibrahim hasil pukulan sudut penalti sebelum Muhammad Hafiz Zainol menjaringkan gol kedua pada minit ke-25 menerusi jaringan padang.

Selepas ketinggalan 2-0, barulah TNB bangkit untuk mencari gol dan hasilnya pakar pukulan sudut penalti negara, Muhamad Amin Rahim berjaya merapatkan kedudukan menerusi pukulan penalti stroke seminit kemudian.

Bersambung babak kedua, TNB terus memberi tekanan dan akhirnya Faizal Saari berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-48 menerusi jaringan padang sebelum dia menjaringkan satu lagi gol pada minit ke-69, juga menerusi gol padang.

Ketika TNB sudah berada di ambang kemenangan, UniKL berjaya menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan dengan baik oleh Noor Faeez sekali lagi.

“Beza perlawanan hari ini (semalam) ialah barisan pemain muda kami kurang pengalaman berbanding pihak lawan. Tetapi keputusan seri sudah cukup memberi kejayaan besar untuk kami.

 

“Pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi selain menggunakan kelebihan tenaga muda mereka untuk memberi tekanan kepada TNB,” jelas pengurus pasukan UniKL, Amir Azhar Ibrahim.



 

 

Copyright Dhaliwal Event Management Sdn Bhd © 2013. All Rights Reserved.